Percutian kami bagi tahun 2013 jatuh ke Legoland, Johor. Sebenarnya dari tahun lepas lagi Adam dan Hawa telah mensasarkan Legoland sebagai tempat percutian mereka, tetapi saya tangguhkan pada tahun ini sebab :
Pada tahun 2012,
1. Legoland baharu dibuka, jadi kawasannya masih lapang. Pokok-pokok yang ditanam masih belum boleh dijadikan tempat berteduh.
2. Lazimnya, taman tema yang baru dibuka akan ada kelemahannya yang belum diketahui lagi.
3. Pengalaman dan tips dari pengunjung yang telah mengunjunginya belum banyak. Tips ini penting supaya kami dapat memaksimumkan keseronokan di sana (Value for our money). Maklumlah, entrance fee ke sana, agak mahal.
4. Saya telah merancang bercuti bersama saudara dan anak-anak saudara di tempat lain yang lebih ekonomi iaitu di Lost World of Tambun.
5. Anak saya yang bongsu baru berumur 1 tahun, tidak banyak pilihan permainan yang sesuai di Legoland untuknya. Pada tahun ini pula umurnya 2 tahun, masih tidak perlukan entrance fee...
Kami telah membeli Legoland package di MATTA Fair. RM299 semalam di bilik Superior hotel 3 bintang berserta 2 tiket dewasa ke Legoland. Kami tempah 2 bilik. Kami tambah lagi 1 tiket kanak-kanak untuk Adam berharga RM90. Jumlah semua RM 688. Hawa dan nenek akan tinggal sebilik. Manakala saya, suami, Adam dan Qaisara akan tinggal sebilik.
Tarikh kami akan ke sana ialah 29/11/2013 (Jumaat).
Tarikh tersebut dipilih kerana, selepas ke Legoland, kami akan menghadiri kenduri kahwin Suhaizan (anak kak Shima dan Bang Din) di Senggarang, Batu Pahat.
Kami telah membuat persediaan yang rapi antaranya:
1. Telah merancang perjalanan (itenarary)
2. Mengenalpasti permainan mengikut keutamaan. Kami bercadang untuk menjelajah kawasan yang terletak jauh ke dalam dahulu iaitu di bahagian IMAGINATION dahulu. Tujuannya, pada waktu tengahari, kami akan berada di pintu masuk supaya Adam dan suami boleh keluar menunaikan solat Jumaat, sementara kami akan berehat/ solat Zohor di surau. Kami juga bercadang untuk makan tengahari di restoran yang berada berhampiran dengan Legoland. Makanan di dalam Legoland memang mahal.
Kami harap inilah percutian yang paling menyeronokan bagi tahun ini.