Wednesday, May 1, 2019

Menunaikan haji pada usia muda


Kewajiban menunaikan haji sering diabaikan oleh golongan muda walaupun hakikatnya kebanyakan mereka telah berkemampuan. Mampu di sini bermaksud mampu dari segi kesihatan, wang dan masa. Namun golongan muda masa kini lebih mengutamakan perkara lain terlebih dahulu dibandingkan dengan rukun Islam kelima ini.
Di antara perkara yang menjadi keutamaan mereka ialah :
1. Kereta
2. Rumah
3. Pasangan
4. Anak
5. Kerjaya
dan sebagainya.

Mentaliti kebanyakan masyarakat pula menganggap haji wajar ditunaikan ketika usia 40 ke atas.

Marilah kita mengubah budaya yang tidak wajar ini. Haji adalah rukun Islam yang memerlukan lebih banyak kekuatan FIZIKAL berbanding mental. Bayangkan ketika telah tua dan uzur, banyak wajib haji yang tidak mampu dilaksanakan. Mereka terpaksa mewakilkan orang lain untuk melaksanakan bagi pikak mereka. TAWAF., SAEI, MELONTAR JAMRAH, BERMALAM DI MINA/MUZDALIFAH, semuanya memerlukan kekuatan fizikal.
 Saei - berulang alik dari Safa ke Marwah

Melontar Jamrah

Maksud uzur di sini mungkin disebabkan usia yang tua, mahupun penyakit konik yang dihidapi. Di antara penyakit kronik yang kebiasaannya dihidapi oleh golongan tua di Malaysia ialah kencing manis dan darah tinggi. Pengalaman mengerjakan haji dengan seorang makcik yang berpenyakit kencing manis memang agak sukar. Beliau terpaksa menyuntik insulin sebelum makan. Dan kaki makcik tersebut mengalami luka dan bengkak kerana banyak berjalan semasa menuju ke tempat melontar JAMRAH. Beliau dinasihatkan tidak meneruskan lontaran pada hari kedua kerana masalah kakinya. Kakinya perlu segera pulih bagi tujuan rukun haji seterusnya iaitu TAWAF.

Selain daripada masalah kesihatan, golongan tua juga biasanya mengalami masalah lupa dan mudah sesat di Mekah.

Contohilah masyarakat Negara lain seperti Indonesia dan Brunei. Kebanyakan Jemaah haji mereka adalah golongan muda.

Ingatlah, tidak lengkaplah keislaman kita jika kelima-lima rukun Islam tidak ditunaikan. Tunaikanlah HAJI ketika waktu mudamu sebelum datang usia tuamu!. Ingat LIMA PERKARA sebelum LIMA PERKARA...