Thursday, December 5, 2013

Holiday @ JB - Day 1 (Warm up)

28/11/2013 (Khamis)
Kami bertolak dari rumah pada jam 8:00 pagi. Selepas bersarapan pagi di R&R Nilai, perjalanan diteruskan tanpa henti menuju destinasi pertama kami iaitu Homestay Home Sweet Home di Pangsapuri Persiaran Tanjung, Tampoi. Kami tiba di sana pada pukul 12:30 tengahari. Homestay kami terletak di tingkat 11. Lokasinya juga tidak jauh dari bandar JB, iaitu berdekatan dengan Plaza Angsana. Selepas checkin kami berehat sebentar dan menunaikan solat.

Kami menikmati makan tengahari di Medan Selera Kg Melayu Majidee. Cuaca petang itu agak lembab disebabkan hujan. Kami makan nasi ayam, ABC Special dan otak-otak. ABC yang kami makan memang special. Di dalamnya ada pelbagai kacang, buah kabung, jeli dan diatasnya ada satu scoop ais krim serta disaluti dengan cairan coklat. MMmmmm sedapnya ABC. Makanan di sini sedap juga tetapi kebersihan di gerai makan agak tidak memuaskan. Disebabkan perut kami dah lapar, kami berjaya menghabiskan kesemua makanan yang dibeli. Sebenarnya tujuan kami ke Medan Selera Kg Melayu Majidee ialah untuk ke gerai Murtabak JB, Azo 96. Malangnya kami tak jumpa gerai tersebut. Menurut salah seorang pekerja di gerai nasi ayam, gerai murtabak ditutup. Terkilan juga kami tak dapat makan murtabak JB!!

Selesai makan, kami ke Hutan Bandar MPJB di Jalan Tasek Utara. Kami melawat Tasek Tujuh dan Jewel House. Banyak sungguh bunga orkid di sini. Di dalam tasek pula, ada banya kura-kura dan ikan. Ikan di sini agak besar dan kami tak tahu nama ikan tersebut. Penat juga kami berjalan di hutan bandar ni. Dah lama tak berpeluh badan seperti ini.

Selesai meronda di Hutan Bandar, kami ke destinasi seterusnya iaitu The Zon di Stulang Laut. Di sini ada menjual barangan yang diimport dengan tidak dikenakan cukai seperti coklat, minyak wangi dan rokok. Kami membeli coklat untuk dibuat ole-ole. Antara coklat yang dibeli ialah Daim, Ferrero Roche, Hershey Kisses dan Toblerone. Harga coklat di sini memang agak murah jika dibandingkan dengan supermarket biasa. Belum pun puas membeli belah coklat di sini, Adam telah mengajak kami pulang ke homestay. Tak sabar nak mandi di 'swimming pool' katanya.

Kami pun pulang ke homestay. Adam dan Akmal terus berenang di swimming pool di homestay kami. Hawa, ibu dan Sara balik ke homestay kerana Sara telah tertidur di dalam kereta lagi. Saya dan suami bersantai di tepi kolam renang sambil minum air teh. Di tepi kolam mandi, ada kedai makanan yang menjual makanan ala carte seperti mee, roti canai, nasi goreng, sate dan lain-lain. Kedai ini dibuka sehingga jam 1 pagi.

Pada malamnya, kami makan malam di Dataran MPJB, berdekatan dengan jam besar dan bertentangan dengan Hotel Thistle. Di antara makanan yang ada dijual di sini ialah steamboat, yong taufu, tahu bakar, sotong kangkung dan char kue teow. Kami memilih untuk makan steamboat. Steamboat di sini sungguh enak terutamanya sayur-sayurnya yang segar seperti cendawan dan brocoli. Kesemua gerai di sini menggunakan van dan suasana makan di tempat terbuka sangat selesa dan nyaman. Gerai di sini juga bersih. Selesai makan, kami balik ke homestay untuk berehat dan tidur untuk menyediakan fzikal dan mental kami bagi tujuan ke Legoland keesokan harinya.

Syukur, alhamdulillah kerana trip hari ini telah bejaya dilalui dengan baik. Kesemua tempat yang kami tujui tidak tersesat walau sedikit pun. Terima kasih kami ucapkan kepada Mr GPS. Well done!

No comments:

Post a Comment