29/11/2013 (Jumaat)
Hari yang ditunggu telah tiba. Kami semua bersiap seawal 6:00 pagi. Kami checkout dari homestay pada jam 7:00 pagi dan terus ke Hotel Grand Sentosa untuk mengambil tiket masuk ke Legoland. Selesai mengambil tiket, kami bersarapan di medan selera Balai Bomba Larkin. Saya dan Hawa makan di gerai no 3 iaitu Gerai Kacang Pool Haji yang terkenal di JB. Ini pertama kali saya mencubanya dan emmm... sedap. Licin kacang pool tu saya habiskan. Adam, Akmal, ibu dan abang makan nasi lemak. Selepas makan, kami terus ke destinasi yang dituju - LEGOLAND MALAYSIA.
Kami meletak kan kenderaan di tempat letak kereta Medini Mall, dan selepas itu kami terus ke pintu masuk Legoland. Cuaca pagi itu cerah. Untuk masuk ke dalam, kami terpaksa beratur dan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Sewaktu tiba giliran kami, saya memberikan 6 keping tiket iaitu saya, abang, ibu, Hawa, Adam dan Akmal. Manakala Sara sedang beratur di barisan hadapan sekali. Staff yang mengendalikan pintu masuk tersebut bertanyakan tiket untuk Sara. Saya katakan yang Sara baru berusia 2 tahun dan masuk adalah percuma. Mereka tidak percaya kerana saiz Sara yang agak besar berbanding usianya. Lalu saya tunjukkan MyKid, baharulah mereka percaya dan kami dibenarkan masuk. Fuhhh lega... nasib baik saya bawa MyKid Sara.
Qaisara sedang menaiki Merlin's Challenge. Sara tak nak turun. Nasib baik tak ramai orang nak naik mainan ini, jadi Sara main sampai puas. Pening saya dibuatnya...
Adam dan Akmal lagi. Mereka berdua ni tidak boleh dipisahkan. Ini sahajalah gambar yang dapat kami rakamkan. Tak sempat ambil gambar sebab masing-masing sibuk dengan permainan. Lagipun kami nak mengejar masa.
Seperti yang dirancang, kami pergi ke tempat permainan yang jauh sekali iaitu Studio 4D di bahagian IMAGINATION. Show yang pertama bermula pada jam 11:00 pagi. Best betul tengok show 4D. Selepas itu, kami ke permainan Observation Tower, Kids Power Tower, DUPLO® Express, DUPLO® Playtown dan Build & Test. Di bahagian LEGO KINGDOM, kami main permainan Castle Stage (ada pertunjukan silap mata), Merlin's Challenge (macam metal hon, tapi tidak begitu laju), Dragon's Apprentice dan The Dragon. The Forestmen's Hideout ditutup sementara utk penyenggaraan. Manakala Royal Joust (menunggang kuda mainan) tidak sesuai untuk semua peringkat umur kami!
Selesai di bahagian LEGO Kingdom, kami bergerak ke LEGO TECHNIC pula. Kami hanya menaiki Project X dan Aquazone Wave Racers sahaja sebelum waktu berehat untuk abang, Adam dan Akmal menunaikan solat Jumaat. Manakala saya, Hawa, ibu dan Sara berehat di surau berhampiran dengan pintu masuk. Selesai solat Jumaat dan zohor, kami keluar ke Medini Mall (luar dari kawasan Legoland) untuk makan tengahari. Kami makan di Johor Kitchen. Kami makan laksa Johor, nasi goreng kampung, lontong dan nasi putih berlauk ayam percik. Semasa makan, hujan pun turun dengan lebatnya hinggalah jam 4:00 petang. Sementara menanti hujan berhenti, kami mencuci mata di BIG shop yang menjual barangan jenama LEGO. Adam pilih mainan CHIMA, manakala Sara dapat DUPLO (Lego untuk kanak-kanak umur 1-3 tahun). Kesemuanya berharga RM174.00 untuk dua barang tersebut. Fuh... Mahalnya...
Hujan berhenti dalam jam 4 petang. Kami sambung permainan di bahagian LEGO TECHNIC iaitu TECHNIC® Twister. Sara ingin menaiki mainan ini tapi malangnya, setelah diukur ketinggiannya tidak mencukupi iaitu 110 cm. Apa lagi, menangis la dia. Lama juga Sara menangis. Sementara menunggu Sara berhenti menangis, Adam, Hawa dan Akmal menaiki Project X lagi. Saya telah mencubanya. Memang hebat. Roller coaster yang tinggi ini menjunam ke bawah dengan kecuraman kurang dari 45 darjah agaknya. Bagai tercabut jantung saya dibuatnya... Kami tidak sempat mengunjungi LEGO® Academy dan LEGO® MINDSTORMS® kerana ingin meneruskan di bahagian LAND OF ADVENTURE pula.
Adam dan Akmal berposing sakan dengan arca kepala manusia yang dibuat dengan LEGO di hadapan lEGO ACADEMY. Memang cantik!!!
Di bahagian LAND of ADVENTURE, kami menaiki Lost Kingdom (main tembak-tembak guna laser) , Beetle Bounce dan Dino Island. Dino Island memang best di mana kita menaiki sampan mendaki gunung berapi dan memasuki gua yang terdapat dinosours di dalamnya. Apabila keluar sahaja dari gua, sampan akan menuruni laluan curam yang mengandungi air (macam gelongsor). Habis basah baju Adam, Hawa, abang dan Akmal. Saya tidak menaiki mainan ini kerana telah penat. Sara juga sedang tidur, selepas puas menangis. Saya dan ibu hanya duduk menunggu mereka bermain. Kami hanya lalu sahaja di Pharaoh's Revenge kerana ia adalah seperti taman permainan kana-kanak pada zaman dahulu. Disebabkan Sara tidur, kami tidak berminat untuk mengambil bahagian di situ.
Kami bergerak ke bahagian LEGO CITY pula. Di antara permainan di sini ialah LEGO® City Airport (kapalterbang mainan berpusing-pusing), LEGOLAND® Express (keretapi merentasi sebahagian kawasan LEGOLAND) dan LEGO® City Stage (pertunjukan kumpulan Brainstomers - Muscle Art). Pertunjukan ini mengambil masa 25 minit. Kami juga bersiar-siar menikmati keindahan binaan yang diperbuat dari LEGO di MINILAND. Di antara binaan yang ada ialah Menara KLCC, masjid di Brunei, bangunan di Thailand, Indonesia dan Filipina. Kami tidak dapat melihat semua binaan ini kerana hari sudah mulai malam dan hujan renyai turun. Di antara mainan yang tidak dapat dihabiskan ialah Boating School, Rescue Academy, Junior Driving School, Driving School dan The Shipyard.
Salah satu binaan di MINILAND tapi saya tak ingat bangunan apa... hehe
Lebih kurang jam 7:50 malam kami pun keluar dari Legoland. Akmal dan Adam sempat lagi membeli beberapa key chain berbentuk LEGO. Souvenir untuk diri sendiri dan family aje tau... Harga keychain di sini memang mahal. RM35 untuk 3 pcs.
Begitulah pengalaman kami di Legoland. Setelah penat seharian di sini, kami merehatkan badan di Hotel Grand Sentosa, JB. Kami checkin pada jam 9:00 malam. Kami bercadang untuk keluar makan di Dataran JB lagi sebab makanan steamboat di sana sangat sedap, tapi disebabkan badan yang terlalu letih, kami pun batalkan hasrat tersebut. Kami cuma makan biskut oreo dan minum air Cool Blog yang dibeli di Medini Mall sahaja. Layan mata lagi best!
No comments:
Post a Comment